TUARAN: Aktiviti penagihan dadah di kawasan perumahan sekali lagi dibongkar apabila empat lelaki dicekup polis dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Perumahan Telipok Ria, di sini, malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 9 hingga 10 malam itu, pasukan JSJN yang menjalankan Ops Tapis memberi tumpuan di kawasan perhentian bas dan van sewa Telipok Ria Fasa 3 yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan penagih mendapatkan bekalan dadah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Menurutnya, tiga daripada suspek turut didapati memiliki dadah semasa pemeriksaan dilakukan oleh pasukan polis di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Wan’ yang dipercayai bertindak sebagai pengedar di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alhusin berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 0.81 gram syabu yang disimpan dalam empat tiub plastik lutsinar dengan nilai rampasan dianggarkan RM100.
Katanya, semua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan di kawasan berkenaan bagi mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras dadah demi melindungi masyarakat dan generasi muda,” katanya. – Info X