KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengambil serius pelaksanaan syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah apabila hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih sedekad sejak jawatankuasa berkaitan ditubuhkan pada 2014.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata angka itu menunjukkan tahap komitmen yang rendah dalam menangani isu yang sekian lama membelenggu negeri berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap soalan bukan lisan yang dikemukakannya pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurutnya, RCI mengenai PATI di Sabah ditubuhkan pada 2012 sebelum laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) pada 3 Disember tahun sama.
“Bagaimanapun, menurut jawapan kementerian, sejak penubuhan jawatankuasa itu hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih 10 tahun.
“Ini bermakna purata mesyuarat yang diadakan tidak sampai sekali setahun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseriusan kerajaan dalam melaksanakan syor RCI berkaitan isu PATI di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, berdasarkan jawapan kementerian, perbincangan dalam mesyuarat berkenaan lebih tertumpu kepada isu semasa seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu bagi Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin di Negeri Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan.
Katanya, fokus itu dilihat lebih menjurus kepada pengurusan pentadbiran dan bukannya pelaksanaan menyeluruh syor-syor utama yang dikemukakan dalam laporan RCI.
“Kalau perbincangan hanya berkisar kepada hal-hal pentadbiran semasa seperti sistem data atau moratorium, timbul persoalan apakah sebenarnya tujuan utama RCI ditubuhkan dan laporan komprehensif itu disediakan.
“Isu PATI di Sabah bukan sekadar soal pengurusan data atau langkah sementara, tetapi berkait rapat dengan soal kedaulatan, keselamatan serta hak perlembagaan rakyat Sabah,” katanya.
Menurut jawapan bertulis KDN itu lagi, Mesyuarat JKPWAS Ke-13 yang diadakan pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan supaya tempoh Program Pendataan Digital Warga Asing melalui SWIMS dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.
Mesyuarat itu juga bersetuju memberi moratorium penguatkuasaan kepada pekerja asing yang sudah mendaftar dalam sistem berkenaan.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 122,228 pekerja asing direkodkan dalam program pendataan tersebut, dengan 67.3 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai pekerja asing tidak sah.
Sehubungan itu, Madius menggesa kerajaan Persekutuan supaya menunjukkan komitmen politik yang lebih jelas dengan menetapkan garis masa khusus bagi melaksanakan syor-syor utama RCI.
Katanya, langkah itu penting bagi memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu PATI secara menyeluruh dan berkesan.-Info X