Search

Bekalan ayam, daging untuk Aidilfitri di Sabah cukup – DVS

March 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah menyatakan komitmen bagi memastikan bekalan ayam dan daging lembu serta kerbau di negeri ini mencukupi untuk menampung permintaan pengguna menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Dr Zul Bahar Abdul Rashid, berkata berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima bulan pertama 2026, pengeluaran tempatan bagi ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala daging ruminan (lembu dan kerbau) sebanyak 3,185 tan metrik.

“Sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat dalam tempoh perayaan, pihak jabatan membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac lalu yang membabitkan produk berasaskan ruminan dan ayam, beliau berkata tiada sitaan dilakukan setakat ini.

“DVS ingin memaklumkan bahawa kita mengesahkan tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 kilogram produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah.

“Pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di negeri ini sentiasa terjamin,” katanya. – Info X