Search

Orang ramai gempar mayat telungkup dalam longkang

March 6, 2026

Info X Reporters

TENOM: Orang ramai gempar selepas menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan telungkup di dalam longkang berhampiran bangunan Alliance Bank di Pekan Tenom, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi itu, penemuan mayat berkenaan disedari orang awam yang melalui laluan pintas menuju ke Hospital Tenom sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang lelaki tampil membuat laporan di Balai Polis Tenom.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak.

Menurutnya, pengadu memaklumkan bahawa rakannya melihat satu objek menyerupai mayat berada di dalam longkang di jalan pintas menuju ke Hospital Tenom, berhadapan bangunan Alliance Bank.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan kedai di Pekan Tenom.

“Mangsa kemudian ditemui di dalam longkang berhampiran hadapan bangunan Alliance Bank,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 61 tahun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – Info X