LABUAN: Polis menahan 13 warga China selepas menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan pusat panggilan penipuan di kawasan Jalan Pulau Buah, di sini, pada 28 Februari lalu.
Serbuan jam 12.45 tengah malam itu dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan susulan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil serbuan mendapati premis terbabit dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
Menurutnya, seramai 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun diberkas dalam operasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati semua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
“Bagaimanapun, empat daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika tangkapan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan pasukan operasi turut membawa kepada rampasan 21 set komputer dan 83 unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua suspek direman sehingga hari ini.

Katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah bagi tindakan lanjut.
“Hasil semakan mendapati empat lelaki didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak lebih enam kali,” katanya.
Mohd Hamizi berkata, dua lelaki dan seorang wanita pula didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah dibenarkan.
“Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Enam lagi lelaki diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek sudah didakwa di Mahkamah Majistret Labuan pada jam 9 pagi tadi mengikut pertuduhan masing-masing.
Katanya, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah komersial dan siber,” katanya. – Info X