TAWAU: Polis menahan tiga lagi lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo Plaza, menjadikan lapan individu keseluruhan diberkas setakat ini susulan insiden yang mencetuskan kekecohan di kawasan tumpuan orang ramai itu, semalam.
Tangkapan terbaharu itu dibuat selepas lima lelaki terlebih dahulu ditahan malam tadi dalam operasi dijalankan polis susulan video pergaduhan berdurasi kira-kira 20 saat yang tular di aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata bertindak atas maklumat dan video tular itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi bagi mengesan suspek.
Menurutnya, polis pada awalnya menahan lima lelaki kira-kira jam 9 malam di tepi Jalan Taman Kuhara Jaya.
“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas seutas rantai motosikal yang diubah suai dipercayai digunakan semasa kejadian pergaduhan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan lelaki sebelum tercetus pergaduhan sehingga mengganggu ketenteraman orang awam di kawasan bazar berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Kampung Batu 2, Jalan Apas kerana dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua suspek termasuk seorang warga asing yang ditahan berusia antara 17 hingga 34 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau objek berbahaya,” katanya.
Jasmin berkata, polis memandang serius kejadian pergaduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam terutama di kawasan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan atau provokasi kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. – Info X