Search

Kantoi bakar kabel curi

March 7, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Kegiatan tiga lelaki yang dipercayai asyik membakar kabel curi di Kampung Tagas, di sini, terbongkar selepas mereka dicekup polis dalam serbuan, hari ini.

Dalam operasi kira-kira 10.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menahan tiga suspek tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam yang melihat ketiga-tiga suspek sedang membakar kabel dipercayai kabel curi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan longgokan kabel yang sudah dibakar serta sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang berasal dari Kampung Bengkongan dan Kampung Ranau, Kota Marudu mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Simiun turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.

“Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada PDRM Kota Marudu bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini,” katanya. – Info X

CaptionTiga lelaki ditahan ketika sedang membakar kabel dipercayai kabel curi.