TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau dalam operasi di perairan Tawau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo di kawasan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali, berkata bot peronda kemudian diarahkan ke lokasi sebelum mengesan bot terbabit bergerak keluar dari Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
“Ketika cuba dipintas, juragan bot berkenaan bertindak berpatah balik ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan bagi melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot kargo itu menemukan 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot serta semua muatan kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, keseluruhan rampasan membabitkan bot kargo, enjin bot serta muatan gas LPG dianggarkan bernilai RM53,800.
Ariffin berkata, menjelang musim perayaan permintaan terhadap barangan tertentu di pasaran luar negara meningkat sekali gus mendorong sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan.
“Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan Tawau,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X