Search

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN
EDAR SYABU BERNILAI RM50,000

June 27, 2022

admin

LABUAN: Sebanyak 900 gram syabu dianggarkan bernilai RM50,000 berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam penahanan membabitkan sebuah bot gentian di perairan Menumbok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, syabu yang dipercayai cuba diedarkan itu dibungkus di dalam bungkusan teh cina.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan rondaan di perairan Labuan berjaya mengesan sebuah bot yang membawa syabu terbabit.

“Sebaik bot gentian kaca berkenaan dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus cuba mendekatinya untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Kelias, Menumbok sebaik dihampiri.

“Seorang suspek yang mengemudi bot kemudiannya berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan bot di pesisir laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Nudin memaklumkan, hasil penggeledahan yang dilakukan, pasukan operasi berjaya menemui dadah yang disembunyikan di dalam bot terbabit.

“Pasukan operasi kemudiannya membawa dadah bersama bot gentian kaca itu ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM50,000 dan Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya. – Info X