Search

Cubaan seleweng 9,000 liter diesel subsidi terbongkar

March 11, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan menyeleweng minyak diesel subsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki bersama sebuah lori tangki dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal sebuah lori jenis Nissan berwarna hitam putih dengan jalur kuning.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti penyelewengan minyak diesel subsidi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos yang dipercayai digunakan bagi tujuan memindahkan minyak diesel dari tangki asal ke dalam tangki muatan lori.

“Modus operandi ini dipercayai digunakan bagi menyeleweng minyak diesel subsidi sebelum dijual atau dipindahkan ke lokasi lain.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati jumlah minyak diesel yang diisi ke dalam tangki asal lori berkenaan mencecah 9,000 liter, melebihi had yang dibenarkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan manakala lori, minyak diesel dan peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua rampasan terbabit akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM519,500 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962,” katanya.

Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan penyelewengan minyak subsidi. – Info X