Search

Penunggang motosikal maut, rakan parah

March 12, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 19 Jalan Beaufort – Papar berhampiran Taman Emas Takapan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Herrvin Rowell Sylvester, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng Muhammad Syahdan Saiffudin Shamsul, 14, yang cedera parah dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dan sebuah kereta Perodua Ativa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Beaufort.

“Pada masa sama, kereta Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki warga Korea berusia 20 tahun bersama tiga penumpang lain datang dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara depan dengan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan motosikal dinaiki mangsa bersama rakannya yang turut mengalami kerosakan teruk.

Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke dalam parit bersama kenderaan dinaiki mereka.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang juga pelajar mengalami patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kereta bersama tiga penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Leong berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

Kereta dipandu warga Korea dibawa ke IPD Beaufort untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua kenderaan juga ditahan untuk pemeriksaan lanjut termasuk pemeriksaan Puspakom dan analisis kesan pelanggaran,” katanya. – Info X