Search

Remaja ditemukan lemas, dipercayai terjatuh ke laut

March 13, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Tinosa, Batu 7, di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Mahadir Danish Abdullah, 15, ditemui oleh sepupunya dalam keadaan tertiarap di bawah jambatan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal bersama ibu saudaranya di kampung berkenaan memberitahu mahu keluar membeli barang bersama rakan-rakannya.

Mangsa dipercayai terjatuh ke laut sebelum ibu saudaranya meminta bantuan sepupu mangsa serta penduduk kampung untuk mencarinya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa terbaring di atas jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi seterusnya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan dikesan. Setakat ini, tiada unsur jenayah atau sangkaan khianat yang disyaki berlaku.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat. Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

George berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Info X