Search

19 pertuduhan kes elektrik direkodkan, ECoS kutip denda RM190,000

March 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) terus mempergiat penguatkuasaan undang-undang tenaga di negeri ini apabila sebanyak 19 pertuduhan direkodkan di Mahkamah Sesyen Sandakan dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dengan jumlah denda keseluruhan RM190,000 sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Menurut ECoS, daripada jumlah itu, 10 pertuduhan difailkan di Mahkamah Sesyen Sandakan manakala sembilan lagi di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan bekalan elektrik.

Di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, lima kes berkaitan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024) disebut semula pada 13 Mac lalu.

Dalam satu kes, syarikat Maribumi Sdn Bhd didenda RM11,000 selepas didapati sebagai kontraktor utama yang menjalankan pemasangan tiang konkrit gentian optik berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity tanpa kebenaran sah.

Tindakan itu menyebabkan kemalangan elektrik sehingga mengakibatkan kecederaan kekal kepada seorang pekerja.

Sementara itu, syarikat MBS Tuning dikenakan denda RM20,000 bagi kesalahan penyambungan elektrik secara haram selain denda RM5,000 lagi kerana menjalankan pendawaian tanpa kebenaran pemegang lesen.

Tiga kes lain membabitkan individu dan syarikat iaitu Mahadi Santa, Kemas Handal Sdn Bhd serta CCV Retail Sdn Bhd pula tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan tarikh sebutan semula kes pada April depan.

Dalam perkembangan lain, syarikat World Trend Garden Furniture Sdn Bhd sebelum ini mengaku bersalah atas kesalahan penyambungan haram elektrik dan didenda RM25,000.

Di Mahkamah Sesyen Sandakan pula, sesi pendakwaan pada 10 Mac membabitkan kes usikan pepasangan meter di empat premis milik Ori Taste Restaurant Sdn Bhd yang membawa kepada tujuh pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan RM92,000.

Selain itu, seorang pemilik rumah di Astana Heights, Ng Kooi Huat, didenda RM12,000 bagi dua kesalahan berkaitan manipulasi meter dan pendawaian tanpa kebenaran.

Seorang lagi individu, Tan Siak Eam dari V-One Dance Club turut dikenakan denda RM25,000 atas kesalahan mengusik pepasangan meter.

Semua prosiding kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa ECoS, Andryeno Thomas dan kesemua denda serta ikat jamin telah dijelaskan sepenuhnya oleh pihak terbabit.

ECoS menegaskan komitmen berterusan agensi itu untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tenaga bagi memastikan pematuhan semua pihak serta mengekalkan integriti sistem bekalan elektrik di Sabah. – Info X