Search

Isteri terkilan arwah suami tak sempat pakai baju raya

March 14, 2026

Info X Reporters

PAPAR: “Sehari sebelum puasa, arwah sudah membeli baju raya untuk kami sekeluarga… anak, saya dan dirinya sendiri.”

Itu kata Nur Asyikin Omar, 28, isteri kepada Mohd Shahmezie Fazrin Roslee, 26, penunggang motosikal yang maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar lubang di jalan sebelum hilang kawalan dan digilis lori di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Menurut Nur Asyikin, sebelum kejadian arwah keluar bekerja seperti biasa di Marina Court, Kota Kinabalu tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

Katanya, anak mereka Putra Dhiya Danish yang berusia setahun sembilan bulan ketika itu tidak mahu berpisah dengan bapanya kerana sangat manja dengan arwah.

“Tiada apa yang pelik ketika arwah pergi bekerja. Cuma anak memang tidak mahu melepaskan arwah kerana dia sangat manja dengan ayahnya,” katanya sebak.

Nur Asyikin berkata, arwah suaminya juga mempunyai impian untuk membawa mereka menunaikan umrah bersama sebagai sebuah keluarga kecil.

“Sudah beberapa kali arwah bersuara mahu kami menunaikan umrah bertiga… arwah, saya dan anak.

“Sehari sebelum kejadian, arwah sempat meminta saya mencari ejen umrah kerana dia mahu kami menunaikan umrah bersama,” katanya.

Menurutnya, kehilangan suami tercinta amat dirasai lebih-lebih lagi anak mereka yang masih kecil sering mencari-cari bapanya.

“Saya sangat terasa kehilangan ini. Anak pula walaupun belum memahami apa yang berlaku, tetapi dia masih mencari-cari ayahnya,” katanya.

Menurutnya, arwah juga seorang yang sangat suka bersedekah terutama pada bulan Ramadan.

“Arwah selalu bercakap mengenai bersedekah. Bulan puasa ini pun dia ada merancang untuk menghantar makanan tapau ke surau dan masjid,” katanya.

Nur Asyikin berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2023 dan kini tinggal di Kampung Kuala Papar, di sini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, Mohd Shahmezie yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Marina Court, Kota Kinabalu, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya dipercayai terlanggar lubang di jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu.

Mangsa yang datang dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya sebelum motosikalnya terlanggar lubang di permukaan jalan sehingga menyebabkan dia terjatuh dan termasuk ke bawah tayar lori berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar akibat kecederaan parah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X