KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dalam operasi cegah jenayah di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, di sini, semalam.
Penahanan dilakukan kira-kira jam 3 petang, oleh sepasukan anggota Task force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Ops Cegah Jenayah susulan peningkatan kes kecurian di kawasan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, lelaki terbabit ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.
“Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, satu rakaman video berkaitan tangkapan itu turut tular di media sosial Facebook.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.
Sejak semalam, kejadian berkenaan mendapat perhatian selepas satu hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pelajar sekolah alternatif berusia bawah 18 tahun, dikenali sebagai Niko, ditahan dan digari ketika sedang menjalankan aktiviti kebajikan membeli barangan Aidilfitri untuk golongan asnaf.
Hantaran itu turut mendakwa surat kebenaran yang dibawa pelajar terbabit tidak diendahkan selain wakil penjaganya dihalau di ruang lobi IPD Kota Kinabalu, di Kepayan.
Dakwaan berkenaan turut mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial yang menuntut penjelasan lanjut berhubung kejadian terbabit. – Info X