Search

Laksanakan segera hak 40 peratus Sabah – Azis

March 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mahu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak 40 peratus hasil Sabah perlu disusuli tindakan segera untuk melaksanakannya.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata jika perkara itu tidak dipertikaikan, maka Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan segera bayaran balik untuk Sabah dan tidak menangguhkannya.

“Kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak Sabah terhadap pulangan hasil 40 peratus seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus disambut dengan satu tindakan yang jelas: pelaksanaan segera hak tersebut.

“Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa komitmen terhadap 40 peratus tersebut tidak dipertikaikan dan kerajaan tidak merayu terhadap isu hak itu.

“Jika demikian pendirian Kerajaan Persekutuan, maka persoalan yang timbul adalah mudah: mengapa pelaksanaannya masih ditangguhkan?,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mahkamah sudah membuat keputusan yang jelas berhubung perkara itu dan Kerajaan Persekutuan juga menyatakan tidak membantah hak Sabah terhadap pulangan hasil 40 peratus.

Dalam keadaan itu, katanya tiada sebab yang munasabah untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak yang telah diiktiraf itu.

“Alasan bahawa penangguhan dimohon bagi mendapatkan penjelasan terhadap kenyataan dalam penghakiman yang kononnya menyentuh atau mempersoalkan peranan pemimpin terdahulu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hak Sabah.

“Jika terdapat perkara dalam penghakiman yang ingin diperbetulkan atau diperjelaskan, itu adalah hak Kerajaan Persekutuan untuk memohon kepada mahkamah.

“Namun isu pokok dalam perkara ini adalah hak Sabah terhadap pulangan 40 peratus. Memandangkan Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui dan tidak mempertikaikan hak tersebut, maka langkah yang wajar adalah melaksanakan pembayaran itu tanpa berlengah,” katanya.

Azis mengibaratkan keadaan itu seperti seseorang yang mengakui kereta itu milik orang lain, namun masih memegang kuncinya kerana mahu berbincang dahulu mengenai bagaimana manual kereta itu ditulis.

“Hak pemilik kereta itu tidak sepatutnya ditangguhkan hanya kerana perkara lain yang tidak menyentuh pokok hak tersebut.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Hak yang telah diiktiraf tidak seharusnya hanya berhenti pada kenyataan atau jaminan semata-mata.

“Jika benar Kerajaan Persekutuan ikhlas menghormati semangat MA63 dan hak Sabah, maka ia harus dibuktikan melalui tindakan. Hak 40 peratus itu perlu dilaksanakan segera.

“Janji mesti disusuli dengan tindakan,” katanya. – Info X