Search

Pelantikan bukan keistimewaan, sebaliknya amanah berat – Rusdin

March 24, 2026

Info X Reporters

RANAU: Pelantikan sebagai Penyelia Pemaju Masyarakat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, berkata setiap individu yang dilantik perlu menunjukkan komitmen tinggi, disiplin serta kehadiran konsisten di lapangan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Menurutnya, beliau tidak mahu melihat ada dalam kalangan yang dilantik hanya memegang jawatan pada nama tanpa melaksanakan tanggungjawab sebenar kepada masyarakat.

“Anda semua adalah wakil kerajaan di peringkat akar umbi. Setiap tindakan, percakapan dan keputusan mencerminkan kredibiliti kepimpinan, justeru tiada ruang untuk sikap sambil lewa, tidak responsif atau memilih bulu dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi Facebook sempena Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penyelia Pemaju Masyarakat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim bagi kawasan DUN Paginatan.

Rusdin turut menegaskan semua yang dilantik perlu turun padang, mengenali kawasan masing-masing, memahami isu setempat serta bertindak segera terhadap setiap permasalahan yang timbul.

Katanya, rakyat tidak boleh menunggu dan sebarang isu tidak wajar dibiarkan berlarutan tanpa tindakan sewajarnya.

“Sekiranya ada dalam kalangan saudara dan saudari yang tidak mampu melaksanakan amanah ini dengan baik, maka lebih baik berundur daripada terus memegang jawatan tanpa memberi manfaat.

“Kita perlukan pasukan yang bekerja, bukan sekadar memegang gelaran,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin ramai dalam kalangan yang dilantik mempunyai semangat dan keikhlasan untuk berkhidmat, namun menegaskan ia perlu dibuktikan melalui tindakan dan bukannya sekadar kata-kata.

Pada akhir kenyataan, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin kepada semua. – Info X