TAWAU: Niat seorang remaja perempuan bermalam di rumah saudara bertukar detik hitam apabila menjadi mangsa perbuatan terkutuk seorang lelaki dikenali dalam kejadian di Merotai Besar, di sini.
Kejadian itu disedari selepas mangsa tampil membuat laporan polis sebelum siasatan segera dijalankan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai dengan kerjasama penduduk kampung menjalankan operasi mengesan suspek.
“Lelaki warga asing berusia lingkungan 20 tahun itu berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Simpang Tiga Merotai Besar.
“Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Info X