Search

Beri perhatian serius soal pemakanan elak penyakit buah pinggang – Masidi

March 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya memberi perhatian lebih serius terhadap penjagaan kesihatan, khususnya dalam aspek pemakanan harian bagi mengelak penyakit seperti buah pinggang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ketika ini penyakit buah pinggang semakin menjejaskan ramai keluarga di negeri ini.

Katanya, banyak penyakit serius boleh dicegah sekiranya orang ramai lebih peka terhadap gaya hidup seharian dan tabiat pemakanan, bukan hanya buah pinggang.

“Soal kesihatan tidak seharusnya hanya menjadi perhatian apabila seseorang itu jatuh sakit, sebaliknya perlu dijaga lebih awal melalui kesedaran yang lebih tinggi, disiplin diri serta pilihan makanan yang lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya Yayasan Buah Pinggang Sabah, di sini, pada Khamis.

Pada majlis itu, Masidi turut mengumumkan bantuan khas kerajaan berjumlah RM100,000 kepada yayasan itu bagi menyokong usaha membantu pesakit buah pinggang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, bantuan itu akan disalurkan dalam dua peringkat, dengan RM50,000 diserahkan terlebih dahulu, manakala baki RM50,000 lagi akan diberikan selepas yayasan menunjukkan perkembangan yang baik dalam melaksanakan peranannya.

Masidi berkata, penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan memandangkan ramai pesakit masih bergantung kepada rawatan hemodialisis untuk terus hidup.

“Sabah ketika ini mempunyai kira-kira 460 mesin hemodialisis di hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada sekitar 2,400 pesakit, bermakna satu mesin dikongsi oleh kira-kira lima pesakit.

“Angka itu bukan saaja mencerminkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan, tetapi juga beban yang ditanggung pesakit, khususnya mereka yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau turut menggesa Yayasan Buah Pinggang Sabah supaya lebih proaktif dan strategik dalam memperluaskan perkhidmatan hemodialisis ke kawasan yang masih kekurangan kemudahan itu.

Masidi turut menegaskan pentingnya integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. – Info X