PAPAR: Perjalanan pulang tiga beranak bertukar tragedi apabila seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai, di Jalan Kampung Langsat, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Papar.
Turut berada dalam kereta jenis Proton Iswara itu ialah isterinya berusia 63 tahun dan anak lelaki berusia 41 tahun yang masing-masing mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Papar.
Difahamkan ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Langsat, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kejadian berlaku di Jalan Kampung Langsat apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang cedera.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan ketika melalui laluan berkenaan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, memastikan keadaan fizikal berada dalam keadaan baik serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya.
“Lebih berwaspada terutama di jalan kampung yang gelap dan sempit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X