LAHAD DATU: Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi menggunakan lori berakhir apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di Kampung Atiam, di sini, petang semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 3.10 petang itu, sebuah lori jenis rigid jenama Isuzu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun yang dipercayai menjadi pemandu kenderaan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Amri Abdul Rahman berkata, pemeriksaan ke atas lori yang ditutup dengan kain kanvas menemukan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak minyak masak bersubsidi jenama ‘Cap Mawar’ yang disorok di dalam bungkusan berkenaan.
“Setiap kotak mengandungi 17 paket dan keseluruhan rampasan adalah sebanyak 64 kotak bersamaan 1,088 paket minyak masak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa serta menyimpan bekalan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,790,” katanya.
Amri berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran.
“PPM komited menjalankan pemantauan dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri,” katanya. – Info X