Search

Bayi lelaki ditinggalkan di Teluk Likas, waris masih dicari

April 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki yang ditemui orang awam di Taman Awam Teluk Likas, di sini, pada Disember tahun lalu kini memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, selain usaha mengesan ibu kandung serta warisnya masih giat dijalankan.

Menerusi Facebook rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah hari ini, bayi berkenaan dikenali sebagai Arfan Bahri dilahirkan pada 20 Disember 2025 dan ditemui pada 22 Disember sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak terbabit dirujuk sebagai memerlukan pemeliharaan dan pelindungan di bawah Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada 17 Mac lalu turut memerintahkan bayi itu ditempatkan sementara di bawah jagaan individu yang layak mengikut Seksyen 25 akta sama.

“Pelindung turut mendapat pengecualian di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan siaran media dibuat untuk tujuan mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Pelindung, Musawer bin Madsan di talian 088-269821 atau hadir ke Pejabat Kebajikan Am Bahagian Kota Kinabalu.

Usaha itu penting bagi membantu jabatan membuat keputusan terbaik demi penempatan serta kebajikan kanak-kanak berkenaan. – Info X