PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dalam Op Mabuk, awal pagi tadi.
Kedua-duanya diberkas dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Penampang, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dua individu itu ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Selain itu, pesalah turut berdepan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
“Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dan dibantu seramai tujuh (7) anggota Polis.
“Ketika Op Mabuk dijalankan, pihak polis turut mengeluarkan sembilan keping saman atas pelbagai kesalahan dan empat (4) daripadanya tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, seramai 52 individu dan sebanyak 41 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Operasi ini juga antara lainnya, bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan.
“Rumah kita, kita jaga. Daerah kita, kita lindungi bersama,” katanya. – Info X