Search

HQE berdepan tekanan permintaan yang tinggi, beban kerja meningkat

April 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, kini beroperasi di bawah tekanan permintaan yang tinggi dengan trend beban kerja yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkembangan itu didedahkan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki selepas taklimat tertutup mengenai situasi hospital rujukan utama di Sabah itu, di sini, pada Selasa.

Katanya, pihak pengurusan hospital memaklumkan peningkatan permintaan pesakit dan tekanan terhadap kapasiti, sejajar dengan trend yang berlaku di seluruh sistem kesihatan negeri.

“HQE, sebagai antara hospital rujukan utama di Sabah, terus beroperasi di bawah tekanan permintaan yang tinggi, dengan trend beban kerja yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuk keperluan memperkukuh kapasiti, menaik taraf fasiliti dan peralatan dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa cadangan turut dikemukakan, termasuk peluasan infrastruktur dan penambahbaikan aliran pesakit serta perkhidmatan sokongan bagi mengurangkan kesesakan dan mengoptimumkan sumber sedia ada.

Julita turut mengiktiraf beban tugas yang dipikul petugas kesihatan, sambil menyifatkan sumbangan mereka sebagai besar dan sering kurang dihargai.

“Saya dapat melihat sendiri beban kerja di sini sangat tinggi. Pengorbanan doktor, jururawat dan seluruh petugas tidak ternilai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keperluan kesihatan di Sabah terus dibangkitkan dan diberi perhatian.

“Kita sedar terdapat kekangan, termasuk perkara di luar kawalan kita, namun apa yang berada dalam keupayaan kita akan dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh komunikasi dan memperjuangkan keperluan Sabah,” katanya.

Fokus utama, katanya adalah untuk memastikan isu yang dibangkitkan di peringkat lapangan bukan saja direkodkan, sebaliknya diambil tindakan melalui libat urus yang lebih jelas dan tegas dengan pihak berkaitan.

IIni negeri kita. Walaupun sistem kesihatan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kita tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keperluan Sabah dikomunikasikan dengan jelas dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Julita menegaskan bahawa banyak cabaran yang dihadapi hospital utama di Sabah bersifat struktur dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang.

“Tiada penyelesaian segera. Tiada siapa boleh menyelesaikan semua ini dalam sekelip mata. Apa yang kita boleh lakukan ialah memastikan isu-isu kritikal disampaikan dengan lebih berkesan dan diberi keutamaan,” katanya.

Turut hadir pada taklimat dan tinjauan di hospital itu ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Pengarah HQE, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis; Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong. – Info X