Search

Lelaki ditemui lemas ketika SAR hari kedua di Kota Belud

April 8, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing@Andin, 33, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi di kawasan sungai, lebih kurang 2.1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang semalam.

“Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Operasi SAR kemudian dilaksanakan di sekitar pesisir sungai dengan bantuan penduduk kampung, namun mangsa gagal ditemukan pada hari pertama.

“Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan faktor cuaca dan disambung semula pada hari kedua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat menggunakan pengusung untuk membawa keluar mangsa dari lokasi terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi itu turut membabitkan keanggotaan seramai enam anggota BBP Kota Belud dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. – Info X