Search

Sindiket seleweng diesel tumpas, rampasan keseluruhan lebih RM1.1 juta

April 11, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menyerbu sebuah gudang di Jalan Sin San, di sini, petang tadi.

Serbuan kira-kira jam 5 petang itu dilakukan selepas pasukan menjalankan risikan dan mengekori sebuah lori 21 tan jenis Nissan yang mencurigakan ke lokasi berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil serbuan pasukan menemui aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah sedang dijalankan di dalam gudang terbabit.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga lori, tiga unit tangki skid serta 10 tong drum yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Sebanyak 30,800 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM1,165,320.

“Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan kawalan.

“PPM komited memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – Info X