Search

Murid SK Balaban Jaya dipindah ke SK Pekan Beluran, pengangkutan disediakan – KPM

April 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran akan dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran sehingga pembinaan bangunan baharu sekolah itu siap.

Tindakan segera itu dijelaskan Kementerian Pendiidkan (KPM) menerusi satu kenyataan pada Sabtu berikutan laporan ketidakselesaan murid SK Balaban Jaya yang terpaksa belajar di bawah khemah dan kaki lima masjid.

“KPM prihatin terhadap isu akses pendidikan dan keselamatan yang berbangkit di SK Balaban Jaya, Beluran. Isu ini berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur yang diakibatkan pergerakan tanah dan cerun, menjadikan sekolah tidak berada dalam keadaan selamat.

“Beberapa sesi libat urus (SLU) telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama-sama dengan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari jalan penyelesaian.

“Tindakan segera yang akan diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran dan menyediakan pengangkutan untuk membawa murid ke sekolah berkenaan.

“Langkah ini bagi memastikan
pembelajaran murid tidak terjejas dan ibu bapa tidak terbeban. Kerja naik taraf di SK Sungai Nangka juga akan dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan baharu SK Balaban Jaya,” katanya.

KPM berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh memastikan keperluan pendidikan untuk semua murid terjejas di SK Balaban Jaya terpelihara serta pada masa sama aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah diberi perhatian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam maklum balasnya di Facebook beliau, berkata ketidakselesaan dihadapi murid SK Balaban Jaya sangat mengesankan.

“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya.

Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook mendedahkan masalah dihadapi murid SK Balaban Jaya dan meminta pihak yang bertanggungjawab menanganinya dengan segera. – Info X