PAITAN: Enam lelaki warga asing ditahan yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di Kampung Kubambangan di sini, petang semalam.
Keenam-enam lelaki warga Pakistan itu ditahan hari ini selepas laporan polis dibuat mangsa pada jam 6.49 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika mangsa yang juga warga Pakistan didatangi sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kedai runcit.
Katanya, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak akibat salah faham yang membawa kepada pergaduhan.

“Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan mendapat tujuh jahitan.
“Semua suspek akan direman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah kedai runcit.
Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta saksi yang melihat kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X