KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan di sekitar bandar raya ini, pada 10 April lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata kejayaan itu hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti mencurigakan di beberapa stesen minyak di sekitar Kota Kinabalu.
Menurutnya, hasil serbuan ke atas sebuah stesen minyak di Penampang mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper sedang menjalankan aktiviti mencurigakan di pam minyak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan melalui saluran isian kenderaan, melebihi had yang dibenarkan oleh arahan Pengawal Bekalan.
“Tindakan itu disyaki bertujuan menyeleweng barang kawalan bersubsidi secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan sebuah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi kira-kira 249 liter diesel.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM12,897.35 membabitkan kenderaan, resit pembelian, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel berkenaan.
“Suspek lelaki yang ditahan bersama pengusaha stesen minyak terbabit akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril berkata di bawah akta berkenaan, individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat sehingga denda RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan barangan bersubsidi, khususnya melibatkan minyak diesel yang dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN untuk tindakan lanjut. – Info X