KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag pada Selasa menghadiri ‘Royal Mess Night’ sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini.
Hajiji dan isteri tiba pada kira-kira jam 7. 45 malam disusuli keberangkatan tiba Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Sebaik tiba, Tun Musa dan isteri diiringi ke sesi bergambar rasmi, diikuti perarakan masuk ke meja utama dengan diiringi ‘Sword bearer’ dan ‘Bagpipes’, nyanyian lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku.

Majlis turit diserikan dengan perarakan Panji-Panji Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke dalam dewan sebelum berlangsung acara tradisi minum ucap selamat sebagai simbol taat setia dan penghormatan.
Antara acara utama ialah Toast 1 bagi minum ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti Toast 2 kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Toast 3 kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara.

Turut diadakan ialah upacara memotong kek, penyampaian cenderahati dan persembahan hiburan diiringi oleh Kombo PDRM/ATM. – Info X