Search

Tiga penjawat awam termasuk 2 pegawai direman kes rasuah RM500,000

April 15, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam sebuah agensi penguatkuasaan di sebuah daerah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Rasuah itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori milik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah reman sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau.

“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing.

“Mereka yang terdiri daripada dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan bernilai kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X