KOTA KINABALU: Polis Sabah memberi amaran tegas akan terus memburu dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pusat panggilan (calling centre) penipuan atas talian di negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, amaran itu susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket yang beroperasi di sebuah resort di sini, awal bulan ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pusat panggilan penipuan diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dan usaha membanteras jenayah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 80 warga asing yang sebelum ini ditahan dalam serbuan berkenaan sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, semalam.
Katanya, semua tertuduh membabitkan 78 warga China, seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos itu didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Selain itu, 22 daripada mereka turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah, manakala seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 5(1)(c) akta sama,” katanya.
Mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, dalam serbuan kira-kira jam 9.25 pagi pada 7 April lalu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau, Sandakan dan Keningau menyerbu premis berkenaan yang dijadikan pusat panggilan penipuan.
Serbuan itu membawa kepada penahanan 80 individu berusia antara 17 hingga 45 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa luar negara bagi memperdaya mangsa, khususnya warga asing di luar Malaysia.
Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk tiga set komputer, 36 unit telefon bimbit, 15 skrip penipuan dalam bahasa Mandarin, lapan dokumen mengandungi nombor telefon serta tiga pasang pakaian seragam menyerupai pegawai penguat kuasa luar negara.
Siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai ‘tiket masuk’ ke Sabah sebelum menjalankan aktiviti penipuan secara terancang sejak beberapa bulan lalu. – Info X