Search

8 rumah terbakar di Kudat, seorang lelaki melecur

April 16, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Lapan rumah terjejas dalam kebakaran di Kampung Gumpa, di sini, pagi tadi dengan seorang lelaki berusia 46 tahun melecur di bahagian bahu belakang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lima rumah separuh kekal terbakar 90 peratus, dua rumah tidak kekal musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah jenis kekal hanya terbakar 10 peratus.

Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Proton Satria dan dua motosikal yang musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.38 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan lapan rumah sebelum segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan tiga pancutan, dengan sumber air daripada jentera serta pili bomba berhampiran.

“Terdapat seorang lelaki melecur di bahagian bahu belakang dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 11.47 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.15 petang.

“Operasi melibatkan 25 anggota. Ia turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat, Polis Diraja Malaysia dan Sabah Electricity.

“‎Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X