KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) mengingatkan pendaki Gunung Kinabalu, termasuk malim gunung, porter dan petugas, khususnya yang berada berdekatan puncak di Panalaban supaya mengambil langkah sesuai berdepan suhu sejuk yang boleh mencapai tahap beku.
Peringatan itu berikutan penemuan ais di sekitar Panalaban pada pagi Khamis, berpunca daripada suhu sangat rendah di kawasan itu.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Taman-Taman Sabah, pihak bertanggungjawab terhadap pengurusan Taman Kinabalu itu mengingatkan pendaki supaya memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan pihak pengurusan dan petugas Taman-Taman Sabah.
“Pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin,” katanya.
Taman-Taman Sabah mengesahkan berlaku pembentukan ais direkodkan di Substesen Panalaban, Taman Kinabalu yang berpunca daripada suhu sangat rendah pada Khamis.
“Dimaklumkan bahawa satu kejadian pembekuan ais telah direkodkan pada 16 April 2026 di kawasan Substesen Panalaban, Taman Kinabalu, pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut.
“Fenomena ini berlaku susulan keadaan cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini.
“Keadaan tersebut menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, lalu mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp Panalaban,” katanya.
Taman-Taman Sabah berkata, pembentukan ais adalah fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, terutama ketika cuaca cerah, kering dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi. – Info X