KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menegaskan Hospital Queen Elizabeth (HQE) komited memastikan layanan saksama kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang, dengan pengagihan katil dilaksanakan secara telus berdasarkan keperluan klinikal serta kekosongan semasa.
Penegasan itu dibuat menerusi kenyataan media bagi menjawab isu “zero pending” di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta dakwaan ugutan kakitangan dan layanan VIP di hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pengurusan aliran pesakit yang cekap di Jabatan Kecemasan HQE amat penting bagi memastikan rawatan kecemasan diberikan dengan cepat dan selamat, memandangkan hospital berkenaan berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi Sabah dan Labuan.
“Pelaksanaan pengurusan aliran pesakit ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Aliran Pesakit di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia serta modul MyLEAN Awareness, yang memberi fokus kepada pengurangan kesesakan di jabatan kecemasan,” menurut kenyataan itu.
JKNS menjelaskan, antara inisiatif dilaksanakan termasuk penyelarasan penggunaan katil melalui Bed Management Unit (BMU), pewujudan wad multidisiplin dan pengukuhan pengurusan discaj menerusi pendekatan Expected Date of Discharge (EDD).
Selain itu, kemudahan Discharge Lounge serta sistem pemantauan katil turut diperkenalkan bagi memastikan ketersediaan ruang untuk pesakit baharu dapat diurus dengan lebih berkesan.
Menurut JKNS, pelaksanaan inisiatif sejak 29 Januari lalu menunjukkan hasil positif apabila penggunaan katil menjadi lebih optimum, tempoh menunggu kemasukan wad dapat dipendekkan, selain mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan secara signifikan.
“Pada masa sama, kebajikan serta keselamatan pesakit terus menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Budaya kerja di HQE juga, menurut JKNS, berteraskan profesionalisme serta komunikasi berhemah, selain sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada.
Bagi memperkukuh kelestarian inisiatif itu, JKNS memaklumkan penambahbaikan strategik akan terus dilaksanakan termasuk mesyuarat berkala bersama pihak berkepentingan bagi memastikan komunikasi terbuka serta penilaian sistem secara berterusan.
“Penilaian berkala ini penting bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit secara praktikal, di samping mengutamakan kesejahteraan petugas kesihatan,” katanya.
JKNS turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen warga kesihatan yang terus berkhidmat walaupun berdepan beban kerja tinggi, sambil menegaskan setiap maklum balas yang diterima akan diteliti demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan berkesan untuk rakyat Sabah. – Info X