KOTA BELUD: Dua lelaki dikhuatiri lemas, selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika keluar memancing di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, dengan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dikhuatiri lemas.
Enam mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pesisir pantai.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan dengan menyusuri sepanjang tebing sungai di kawasan bot karam.
“Kedua-dua mangsa yang hilang masih belum ditemui setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai hanyut di sekitar kawasan berkenaan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X