Search

RM2,000 bantuan permulaan kepada KIR mangsa kebakaran Kampung Bahagia – KM

April 20, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pada pagi Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat bersimpati terhadap nasib mangsa yang terjejas dalam kebakaran yang disifatkan sebagai antara terbesar melibatkan kawasan penempatan berkenaan.

“Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan. Kebakaran ini adalah satu kebakaran yang agak besar, melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata, sebagai bantuan permulaan, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sebanyak RM2,000, merangkumi bantuan khas RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

“Kita berharap bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mereka sekarang ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Hajiji berkata, tahap kemusnahan di kawasan itu sangat besar dengan hampir keseluruhan kampung musnah sepenuhnya.

Jelasnya, kawasan berkenaan sebelum ini adalah penempatan pelarian di bawah UNHCR, namun sudah dikeluarkan dan kerajaan bercadang membangunkannya menjadikan perkampungan yang sah untuk Kampung Bahagia.

Dalam pada itu, beliau berkata laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa kebakaran dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

Berdasarkan maklumat awal, katanya kira-kira 70 peratus daripada mangsa yang terlibat adalah bukan warganegara, manakala hanya 30 peratus mangsa kebakaran bertaraf warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bantuan tetap akan diberikan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.

Mengulas perancangan pembangunan semula, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk menimbus kawasan berkenaan bagi tujuan pembinaan perumahan, yang dijangka melibatkan kos yang besar.

“Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, namun ini melibatkan kos yang agak banyak,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menunggu laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebelum membuat keputusan lanjut.

“Kita terima dulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, apakah cadangan-cadangan alternatif yang mereka kemukakan. Dari sana
kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran di kampung itu buat masa ini.

Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk membantu mangsa dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

Mengiringi lawatan Hajiji ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Arifin Arif; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Julita Majungki; Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Maijol Mahap; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari dan Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah. – Info X