Search

Mayat lelaki ditemui dalam longkang tepi jalan

April 20, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Sekumpulan pekerja pemotong rumput digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam longkang di tepi Jalan Bundusan, di sini, petang ini.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan tertiarap, lengkap berpakaian dan dipercayai sudah mulai kembung, kira-kira jam 3.15 petang.

Salah seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal dan mengawal keadaan di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam longkang.

“Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut hadir bagi membantu siasatan terperinci,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian awal di lokasi, tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kejadian itu setakat ini.

“Oleh itu, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Identiti mangsa serta warisnya masih dalam proses pengesanan oleh pihak polis,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X