Search

Isteri maut, suami parah dilanggar lori dari belakang

April 23, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Perjalanan sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila wanita maut, manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah lori dari belakang di Jalan Nabawan – Sepulut berhampiran Kampung Sarikan Nabawan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa, Marlyana Baulun, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Suaminya, Dendey Ampat, 27, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Nabawan pula mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan motosikal jenis Modenas Kriss.

“Motosikal dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari arah Nabawan menuju ke Sepulut sebelum dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan, namun tidak berada di lokasi ketika polis tiba sebelum kemudian tampil ke Balai Trafik IPD Keningau.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori dipercayai menjadi punca kemalangan kerana memandu secara melulu tanpa memberi perhatian kepada kenderaan di hadapan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X