Search

Dua maut tersepit dalam nahas dua kereta

April 23, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Dua lelaki maut selepas tersepit dalam kenderaan masing-masing dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Bukit Kimanis – Keningau, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan Proton Saga yang dipercayai bertembung, menyebabkan dua pemandu lelaki berusia 61 dan 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba, didapati kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, seorang lagi mangsa wanita berusia 52 tahun yang juga penumpang Perodua Axia mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi terkawal pada jam 12.20 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari selepas tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X