Search

Tindakan pantas selamatkan warga emas rebah di Tanjung Aru

April 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang ditemui tidak sedarkan diri di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an ditemui orang awam dalam keadaan terlungkup di sebuah pondok rehat sebelum bantuan segera diminta.

Anggota penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian terus menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati mangsa masih tidak sedarkan diri.

Tanpa berlengah, CPR dilakukan bagi memastikan aliran oksigen ke otak mangsa dapat dikekalkan sementara menunggu ketibaan ambulans.

CPR diteruskan secara berterusan sehingga ambulans APM Kota Kinabalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba di lokasi selang beberapa minit kemudian.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke hospital.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, tindakan pantas anggota di lokasi menjadi faktor penting dalam membantu menyelamatkan nyawa mangsa.

“Keadaan operasi terkawal dan semua anggota bertugas selamat sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Operasi yang bermula jam 9.41 pagi itu membabitkan seorang pegawai dan lima anggota bersama kelengkapan kit pertolongan cemas. – Info X