Search

Latihan helikopter altitud tinggi di Gunung Kinabalu uji kesiapsiagaan misi SAR

April 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan gunung dan berketinggian tinggi terus diperkukuh apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan latihan penerbangan khas di sekitar Gunung Kinabalu, bermula 20 April dan berakhir semalam.

TUDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan latihan dikenali sebagai ‘Gayo Ngaran’ Siri 1/26 itu membabitkan dua helikopter jenis Eurocopter EC725 Caracal milik No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan.

Latihan ini membabitkan dua helikopter EC 725 AP dan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Asmil Faiq Adnan TUDM.

Latihan ini memberi fokus kepada operasi di altitud tinggi, iaitu kawasan melebihi 10,000 kaki dari aras laut yang mempunyai cabaran tersendiri seperti udara nipis (kurang oksigen), suhu lebih rendah serta kesan kepada fizikal anggota dan prestasi pesawat.

Pelaksanaan latihan itu juga mengambil pengajaran daripada dua insiden besar iaitu tragedi Low’s Gully pada 1994 dan gempa bumi Sabah pada 5 Jun 2015, yang memerlukan operasi menyelamat dalam keadaan mencabar di kawasan gunung.

Sepanjang latihan, pelbagai prosedur operasi dipertingkat termasuk penggunaan peralatan sokongan pernafasan bagi membantu anggota berfungsi dengan lebih baik di kawasan kurang oksigen.

Selain itu, latihan turut melibatkan simulasi kecemasan seperti perubahan tekanan udara secara tiba-tiba (rapid decompression) bagi memastikan anggota bersedia menghadapi situasi luar jangka.

Keupayaan helikopter juga diuji dalam keadaan ekstrem termasuk kemampuan membawa beban lebih 1,000 paun dari lokasi strategik berhampiran puncak seperti Panalaban.

Seramai 16 anak kapal, 12 juruteknik, empat anggota pasukan penyelamat udara (Combat Air Rescue) serta tiga anggota perubatan turut terlibat dalam latihan berkenaan.

Latihan ini memastikan kesiapsiagaan aset dan anggota sentiasa berada pada tahap tinggi, khususnya dalam melaksanakan misi pemindahan mangsa dan bantuan kecemasan di kawasan sukar diakses seperti pergunungan. – Info X