Search

Kerajaan Sabah bantu bawa pulang wanita koma di Vietnam

April 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil tindakan segera membantu membawa pulang seorang wanita dari negeri ini yang kini koma selepas diserang sawan ketika bercuti di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pihaknya sudah berhubung secara langsung dengan suami mangsa, Mohd Jamri Herry, bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya, Rohana Joseph, 34, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) untuk segera menyantuni mangsa dan suaminya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka.

“Pengarah YKS, Datuk Hajah Diyanah Abdullah, sudah menghubungi suami mangsa bagi membantu menguruskan proses membawa pulang Rohana ke Kota Kinabalu.

“Ini termasuk penyelarasan keperluan perubatan serta pengiring pakar sepanjang penerbangan bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keadaan kesihatan semasa mangsa, penerbangan pulang ke Sabah dijadualkan pada 30 April ini.

Terdahulu, media melaporkan percutian pasangan itu bertukar tragedi apabila Rohana tiba-tiba diserang sawan pada awal pagi hari mereka dijadualkan pulang ke Malaysia sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih tidak sedarkan diri.

Mohd Jamri yang juga kakitangan Majlis Sukan Negeri Sabah dilaporkan masih berada di Vietnam untuk menguruskan isterinya, selain berdepan kebimbangan terhadap kos rawatan yang dijangka tinggi.

Azrul berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan segala bantuan sewajarnya disalurkan.

“Kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa diberikan kesembuhan serta dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X