Search

Pemimpin muda masih tersekat sistem sedia ada — Salleh

April 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peralihan kepimpinan kepada generasi muda di Malaysia masih bergerak perlahan berikutan kekangan struktur parti politik yang lebih mengutamakan pengalaman, kata veteran UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, walaupun terdapat tanda-tanda perubahan ke arah kepimpinan lebih muda, realitinya banyak negeri masih diterajui tokoh berpengalaman berusia lingkungan 60-an.

Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada hierarki parti yang kukuh, rangkaian naungan yang berakar umbi serta kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan sekiranya peralihan dilakukan secara mendadak.

“Malaysia tidak kekurangan pemimpin muda yang berkaliber, namun sistem sedia ada masih memberi keutamaan kepada faktor pengalaman,” katanya dalam satu catatan di Facebook, semalam.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, hanya segelintir negeri memperlihatkan peralihan lebih jelas kepada kepimpinan muda.

Antara contoh, katanya, ialah Amirudin Shari dan Onn Hafiz Ghazi yang masing-masing menerajui Selangor dan Johor.

Bagaimanapun, beliau menegaskan secara keseluruhan landskap politik negara masih didominasi pemimpin berpengalaman sekali gus memperlahankan proses pembaharuan kepimpinan.

Dalam pada itu, Salleh berpandangan Malaysia kini berada dalam fasa “peralihan separa” yang menyaksikan keseimbangan antara pemimpin lama dan muda, meskipun peralihan berkenaan belum menjadi arus utama.

Beliau turut membuat perbandingan dengan landskap politik global yang menurutnya masih dikuasai pemimpin veteran seperti Xi Jinping, Narendra Modi, Vladimir Putin dan Donald Trump yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 70-an.

“Perubahan sedang berlaku, tetapi belum lagi menjadi trend dominan,” katanya. – Info X