KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan mengambil langkah proaktif mengawal penggunaan jentera serta memperketat garis panduan pembangunan ladang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan DUN Tamparuli.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dengan menekankan pembangunan mampan yang mengambil kira pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan tanah secara berhemah.
Menurut beliau, antara langkah utama ialah melarang penggunaan jentera berat jenis jentolak dalam kerja pembinaan teres di kawasan cerun kerana boleh meningkatkan risiko runtuhan dan hakisan tanah.
“Sebaliknya, hanya penggunaan jengkaut dibenarkan bagi memastikan kerja tanah dapat dikawal dengan lebih selamat dan teratur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan berkaitan isu banjir di kawasan Tamparuli pada persidangan DUN Sabah.
Beliau menjelaskan, pembinaan teres turut dilaksanakan mengikut kontur semula jadi bukit bagi mengekalkan kestabilan struktur tanah serta meminimumkan gangguan terhadap landskap asal.
Selain itu, kerajaan juga menetapkan zon penampan sekurang-kurangnya 40 meter dari tebing sungai bagi memelihara kawasan rezab riparian, sekali gus melindungi sumber air dan mengurangkan kesan terhadap ekosistem sungai.
Jamawi berkata, langkah lain termasuk melaksanakan penanaman tanaman penutup bumi seperti Mucuna bracteata bagi mengurangkan hakisan, mengekalkan kelembapan tanah dan meningkatkan kestabilan struktur tanah.
“Kerajaan turut melarang aktiviti peneresan di kawasan yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah bagi mengelakkan risiko kerosakan tanah yang lebih serius,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pada tahun 2025 terdapat satu projek sedang dibangunkan iaitu Projek TBB Pahu Jaya seluas 58.59 hektar.
Bagi tahun 2026 pula, dua projek baharu akan dilaksanakan iaitu Projek TBB Sinopukan seluas 38 hektar dan Projek TBB Nulu seluas 52 hektar.
Dalam pada itu, beliau berkata LIGS merupakan satu-satunya agensi berkaitan industri getah di Malaysia yang menerima pensijilan Forest Stewardship Council (FSC) bagi Pengurusan Hutan Mampan.
Katanya, pengiktirafan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan industri getah dilaksanakan secara lestari tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar, termasuk perlindungan sistem sungai dan ekosistem sensitif. – Info X