Search

Penunggang motosikal maut rempuh lori buat pusingan U

April 29, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di pusingan U Kilometer 6, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini, malam tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah lori jenis Nissan dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan membuat pusingan U untuk berpatah balik ke arah Sandakan.

“Pada masa sama, datang sebuah motosikal jenis WMOTO dari arah Lahad Datu sebelum melanggar bahagian tepi kiri lori berkenaan akibat jarak terlalu dekat.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X