PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit berhampiran selekoh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain memandu dengan berhati-hati.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya. – Info X