Search

Enam ditahan dalam kontena, syabu dirampas

April 30, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di kawasan penyimpanan kontena di Taman Anson, di sini, tengah malam tadi.

Dalam operasi susulan aduan orang awam itu, sepasukan polis Strike Team Balai Polis Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum memeriksa sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 12.40 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam individu termasuk seorang wanita berada di dalam kontena berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam kontena itu membawa kepada penemuan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.92 gram.

“Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing berusia antara 26 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini. – Info X