RANAU: Pemandu van yang cedera parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 6, Jalan Ranau – Telupid, petang semalam, disahkan meninggal dunia selepas hampir tujuh jam bertarung nyawa.
Mangsa lelaki berusia 51 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.15 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.57 petang semalam itu, kemalangan membabitkan sebuah van, lori dan Toyota Veloz.
“Siasatan awal di lokasi mendapati van dipandu mangsa dari arah Telupid dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara hadapan dengan sebuah lori dari arah Ranau.
“Akibat perlanggaran itu, van berkenaan mengundur lalu melanggar sebuah Toyota Veloz yang berada di belakangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori berusia 31 tahun dan pemandu Veloz berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa mengalami kecederaan serius pada kedua-dua kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada malam tadi,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Ranau, hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi had laju ditetapkan serta memastikan kenderaan berada di lorong yang betul bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutama di laluan dua hala yang sibuk.
“Selain itu, pemandu diingatkan agar tidak memandu dalam keadaan letih atau hilang tumpuan kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan serius serta disaran berhenti berehat jika menempuh perjalanan jauh,” katanya. – Info X