RANAU: Satu deretan kedai runcit di Kampung Timbua, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, kebakaran membabitkan barisan premis jenis separuh kekal dengan keluasan keseluruhan dianggarkan kira-kira 1,226 meter persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 6.40 petang, didapati kebakaran sudah marak dan memusnahkan keseluruhan deretan kedai berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 7.06 malam dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Katanya, setiap unit premis di deretan itu dianggarkan berkeluasan kira-kira 20 x 66 kaki (sekitar 123 meter persegi) dan keseluruhannya musnah dalam kebakaran berkenaan.
“Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X